mcmc
Pelancongan & Tempat Bersejarah

Pelancongan

 

Sejarah dan Cerita Batu Punggul

 

            Batu Punggul telah dijumpai oleh orang-orang Murut pada masa dahulu kala dan mempunyai ketinggian sehingga 120 meter dan lebar sebanyak 68 meter. Ia berada di tengah-tengah kawasan Sungai Sepulut di mana terdapat beberapa gua di sekitarnya. Terdapat tali yang boleh digunakan oleh pelancong yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi dari atas batu. Selain itu, para pelancong juga boleh merasai keseronokan menaiki bot selama 30 minit ke Batu Punggul dan jika bernasib baik, mereka boleh melihat gajah dan rusa meminum air di lopak garam di sana. Pengalaman seperti inilah yang sentiasa dinantikan oleh penggemar kehidupan liar dan peminat alam semula jadi dan ia merupakan satu pengalaman yang sungguh berharga.

 

Menurut pengusaha pusat pelancongan Batu Punggul, Encik Lantir Bakayas, beliau biasanya akan membawa pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan alam dan menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan sepanjang percutian mereka di sini. Bagi pelancong yang berasal daripada Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Jepun dan Korea mereka juga turut suka tinggal di rumah panjang yang ada di Kampung Tataluan selepas pulang melawat Batu Punggul.

 

Cara hidup dan nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh kebanyakan kaum Murut di sini membuatkan mereka seolah-olah tidak mahu pulang ke negara asal. Selain itu, pelancong yang datang juga sering kali diberikan layanan yang istimewa dan disajikan dengan air tuak yang diperbuat daripada tapai untuk kaum bukan Muslim. Encik Lantir Bakayas berharap agar pihak kerajaan negeri akan dapat mengkomersialkan produk pelancongan Batu Punggul ini dan menyediakan lebih banyak kemudahan infrastruktur untuk memudahkan pelancong datang ke sini.

 

    

    Pemandangan daripada Kaki Batu Punggul           Pemandangan daripada Puncak Batu Punggul