Ramai pelancong yang datang berkunjung ke Sabah bukan sahaja berpeluang untuk melihat kepelbagaian flora dan fauna tetapi juga berpeluang untuk merasa makanan yang beraneka jenis yang hanya terdapat di Borneo. Hal ini demikian, negeri Sabah terdiri daripada himpunan pelbagai bangsa dan suku kaum. Selain itu, kita sendiri boleh melihat pelbagai jenis makanan tradisional yang dihidang dan yang dijual di pasar atau di tamu yang berdekatan. Seperti yang kita tahu, ada di antara kita sendiri yang jarang sekali dapat melihat dan juga merasa makanan tersebut melainkan datang sendiri berkunjung di kawasan tertentu sahaja.
Masyarakat suku kaum Murut yang tinggal di pedalaman Sabah merupakan etnik yang unik kerana sangat kaya dengan pelbagai khazanah seni termasuk keindahan dan kreativiti dalam memasak bermacam-macam jenis makanan. Masyarakat yang menetap di kawasan pedalaman ini mempunyai banyak cita rasa yang berbeza-beza. Antara makanan yang paling terkenal di kawasan Kampung Lotong, Mukim Sepulut ialah resipi memasak pucuk ubi kayu, ubi kayu rebus dan ubi kayu goreng, paku-pakis, buah tarap yang hanya terdapat di Borneo, jeruk ikan, jeruk daging, sagu yang dibuat daripada ubi kayu, tuhau, dan sebagainya.
Selain itu, Tiopoh atau pun Mamata juga adalah sejenis makanan kaum Murut yang terkenal di kawasan perkampungan ini. Makanan ini berasal daripada padi bukit yang masih mentah ataupun padi yang muda iaitu hasil padi yang sudah boleh dipetik. Hasil padi atau beras yang diambil akan di goreng sehingga masak sehingga kelihatan kekuning-kuningan tanpa menggunakan minyak masak. Setelah siap dimasak, makanan ini akan dikisar dengan menggunakan blender ataupun boleh ditumbuk secara tradisional sehingga halus. Tiopoh ataupun Mamata ini boleh dicampur dengan sedikit gula untuk rasa yang lebih enak.
Kepelbagaian makanan ini disukai oleh lapisan masyarakat kerana rasa, teksturnya dan aromanya sesuai dengan cita rasa seseorang. Makanan tradisional Kaum Murut ini perlu diketengahkan agar generasi akan datang tahu akan wujudnya makanan yang bermacam-macam ini. Mereka yang belum merasa kelazatan dan keenakan makanan tradisional ini, boleh datang berkunjung ke Sabah, terutamanya di kawasan perkampungan.
Pucuk Ubi Kayu/Umbus Jantung pisang/Pusok Tiopoh/Mamata
Kuih Bungkus Ubi Kayu/Nilopot Ubi rebus/iluui
Antara makanan tradisional yang terkenal di sekitar Kg Lotong,Mukim Sepulut